RAKANSISWA:

Tuhan dalam Alkitablah Tuhan itu. Dia mendakwa diri-Nya Pencipta alam semesta--Tuhan yang Maha Tahu, Maha Kuasa, yang sentiasa wujud dan juga mengekalkan segala-galanya. Dia mengatakan, "Akulah yang menjadikan bumi dan yang menciptakan manusia di atasnya; tangan-Kulah yang membentangkan langit..."1 "Akulah Allah dan tidak ada yang lain, Akulah Allah dan tidak ada yang seperti Aku."2 "Aku adalah... yang ada dan yang sudah ada dan yang akan datang, Yang Mahakuasa."3

http://rakansiswa.com/a/107TuhanAlkitab.html


PENCERAHAN:

Tulisan awal artikel ini secara umumnya semua baik dan benar, cuma kita terpaksa berhenti sebentar pada perenggan di atas kerana hendak memberi pencerahan. Bukan untuk menafikan isi kandungan perenggan itu, tetapi untuk mengelakkan salah faham kepada pembaca.


Semua firman/ kata-kata yang dipetik itu adalah KATA-KATA TUHAN, bukan kata-kata Jesus. Tidak ada satu kalimahpun di mana Jesus mengatakan , “Akulah Tuhan”, “Sembahlah Aku”, “Akulah Allah”, “Akulah yang menciptakan langit dan bumi” dan seumpamanya.


Harap semua boleh membezakan antara kata-kata Tuhan/ Allah/ Bapa dengan kata-kata Jesus (wakil Tuhan/ nabi Allah).

Adakah Tuhan Wujud?

ADAKAH TUHAN WUJUD?

Oleh Marilyn Adamson


Pernahkah anda harap-harapkan agar seseorang akan memberitahu anda dengan terus terang bukti kewujudan Tuhan tanpa memaksa anda mempercayainya?


Jadi saya ingin menyuarakan beberapa sebab mengapa ramai orang percaya bahawa Tuhan wujud. Tetapi, apa yang harus dipertimbangkan ialah jika seseorang itu tidak mahu percaya, tidak kira bukti apapun, maklumat itu tidak akan dapat menukar fikiran orang itu. Orang itu tetap enggan menerimanya.


Alkitab mengatakan bahawa manusia telah melihat bukti yang mencukupi, tetapi mereka memilih untuk menyekat kebenaran tentang Tuhan.1 Bagi mereka yang betul-betul ingin mengetahui sama ada Tuhan wujud, Tuhan mengatakan, "Anda akan mencari dan menjumpai Saya; jika anda mencari Saya dengan segenap hatimu."2 Sebelum anda melihat semua fakta mengenai kewujudan Tuhan, cuba tanyakan sendiri, Jika Tuhan benar-benar wujud, apakah saya sedia mengenali-Nya? Berikutnya adalah beberapa sebab yang anda boleh mempertimbangkan...


1. Kerumitan bumi ini menyatakan bahawa pastilah ada seseorang Pencipta yang bukan sahaja mencipta alam semesta, tetapi juga mengekalkannya sehingga hari ini.


Terdapat banyak contoh yang mencerminkan ciptaan Tuhan yang mengagumkan. Berikut hanyalah beberapa contoh:


Bumi...saiznya sempurna sekali. Saiz Bumi dan daya graviti yang sepadan membolehkan suatu lapisan nipis yang terdiri daripada kebanyakannya gas nitrogen dan oksigen, menjangkau kira-kira 50 batu di atas permukaan Bumi. Jika Bumi lebih kecil, atmosfera tidak dapat terbentuk, seperti planet Utarid (planet terdekat dengan matahari). Jika Bumi lebih besar lagi, atmosferanya akan mengandungi hidrogen bebas, seperti Musytari (planet terbesar)3 Bumilah satu-satunya planet yang diketahui diselaputi atmosfera yang terdiri daripada kombinasi gas yang mampu menyokong kehidupan setiap makhluk di muka Bumi.


Kedudukan Bumi berada pada jarak yang sesuai dari matahari yang suhunya berubah-ubah lebih kurang -30 darjah hingga ke +120 darjah. Jika Bumi lebih jauh dari matahari, kita semua akan kaku kerana kesejukkan. Jika lebih dekat sedikit, Bumi akan terpanggang dan kita tidak akan dapat hidup. Bumi berada pada kedudukan yang tetap dari matahari semasa ia berputar mengelilingi matahari pada kelajuan hampir-hampir 67,000 batu sejam. Ini membenarkan seluruh permukaan Bumi dipanaskan dan disejukan dengan secukupnya setiap hari.


Bulan kita juga dalam saiz yang sempurna dan jarak yang sesuai dari Bumi sepadan dengan tarikan gravitinya. Tarikan graviti antara bulan dan bumi mempengaruhi arus pasang-surut agar air laut bukan sahaja tidak bertakung, air juga tidak melimpah ke benua.4


Air...tiada warna, tiada bau dan tiada rasa. Tetapi tiada hidupan dapat hidup tanpa air. Tumbuh-tumbuhan, binatang dan manusia terdiri daripada kebanyakannya air (lebih kurang dua-pertiga badan manusia adalah air). Anda akan memahami mengapa sifat-sifat air sangat sesuai untuk menampung kehidupan:


Air memiliki titik didih dan titik beku yang tinggi. Ini membenarkan kita hidup dalam persekitaran suhu yang berubah-ubah, semasa mengekalkan suhu badan tetap pada 98.6 darjah.


Air adalah pelarut sejagat. Sifat air ini bermakna beribu-ribu bahan kimia, mineral dan zat makanan dapat diedarkan ke seluruh badan dan ke dalam saluran darah yang kecil.5


Air bersifat neutral dari segi kimia. Tanpa mengubahkan sifat bahan-bahan yang dibawanya, air membolehkan makanan, ubat dan mineral diserap dan diguna dalam badan.


Air memiliki tegangan permukaan yang paling tinggi. Oleh itu air dalam tumbuh-tumbuhan boleh mengalir ke atas menentang graviti, membawa air dan zat ke atas pokok-pokok yang paling tinggipun.


Air membeku dari atas ke bawah dan mengapung. Ini membolehkan ikan hidup pada musim sejuk.


Sembilan puluh tujuh peratus air di Bumi berada di lautan. Tetapi di Bumi, terdapat satu sistem yang menyejat air laut, meninggalkan garam dan membentuk awan yang ditiup dengan senang oleh angin ke merata-rata tempat, untuk kegunaan tumbuh-tumbuhan, binatang dan manusia. Ini merupakan satu sistem penulenan dan pembekalan air yang menampung semua hidupan di Bumi, satu sistem yang mengitarkan semula air.6


2. Kerumitan otak manusia menyatakan bahawa pastilah ada seseorang Pencipta di baliknya.


Perhatikan juga fungsi otak! Otak manusia mampu memproseskan lebih daripada satu juta arahan sesaat.7 Secara serentak otak manusia mengesan apa yang didengar, dilihat, dirasai dan dialami. Otak bukan sahaja mengendalikan semua simpanan dan pemprosesan perasaan, fikiran dan kenangan, otak berupaya mengawal keseluruhan fungsi badan seperti pola pernafasan, gerakan kelopak mata, kelaparan dan gerakan otot tangan.


Otak menilai kepentingan semua data yang diterimanya dan menapis apa yang tidak seberapa penting. Fungsi penapisan inilah yang membenarkan kita hidup dengan berkesan di dalam dunia. Mungkinkah semua fungsi otak ini terjadi secara kebetulan? Mungkinkah otak itu terjadi semata-mata sebab-sebab biologi yang menciptakan tisu, aliran darah dan sistem saraf yang sempurna? Cara otak berfungsi luarbiasa berbanding dengan organ tubuh yang lain. Terasa ada suatu Inteligensi di sebalik ciptaan otak, keupayaan untuk memikir, meluahkan perasaan, merancang, mengambil tindakan, dan berhubung dengan orang lain. Bagaimanakah seseorang dapat menjelaskan kerumitan otak manusia?


3. "Secara kebetulan" atau "sebab-sebab semulajadi" adalah penjelasan yang tidak mencukupi.


Jika kita menganggap bahawa Tuhan tidak wujud, ini bermakna segala sesuatu yang wujud di sekeliling kita adalah dihasilkan secara semulajadi atau secara rawak. Apa yang Pasteur cuba membuktikan beberapa abad yang lalu telahpun disahkan oleh ahli sains hari ini: "Kehidupan berasal dari kehidupan". Ertinya, organisme hidup tidak boleh muncul daripada benda yang tidak hidup. Jika begitu, dari manakah manusia, binatang, dan tumbuh-tumbuhan berasal?


Begitu juga, "sebab-sebab semulajadi" tidak memadai untuk menjelaskan maklumat yang begitu tepat yang terkandung dalam DNA manusia. Seseorang yang berpendapat bahawa Tuhan tidak wujud terpaksa membuat kesimpulan bahawa semua ini terjadi tanpa sebarang sebab, tanpa rancangan, dan hanya merupakan nasib baik walaupun ini sama sekali tidak masuk akal.


4. Seseorang yang menegaskan bahawa Tuhan tidak wujud tidak mengendahkan keghairahan ramai yang yakin Tuhan wujud.


Ini tidak bermakna apa yang dipercayai orang ramai pastilah benar. Misalnya, ahli sains telahpun membuat penemuan baru tentang alam semesta yang menolak kesimpulan yang lalu. Tetapi ketika sains semakin maju, tiada penemuan saintifik yang dapat menolak kemungkinan bahawa suatu Inteligensi wujud di sebalik semua ini. Semakin sains membuat penemuan baru tentang kehidupan dan alam semesta, semakin kita mengetahui betapa rumit semuanya ini. Bukti-bukti semakin menunjukkan bahawa suatu sumber inteligensi memang wujud. Tetapi bukti objektif bukanlah segala-galanya.


http://rakansiswa.com/a/101Tuhan.html


PENCERAHAN:

Tulisan di atas SANGAT BAGUS. Kami amat menggalakkan agar semua manusia dan jin sama ada yang beragama ataupun atheis supaya membaca dan berfikir tentangnya. Terima kasih kepada penulis asalnya iaitu Marilyn Adamson dan rakansiswa.com yang menyebarkannya.

Namun begitu, tulisan-tulisan seterusnya perlu diberi pencerahan kerana ada bahagian yang baik, ada bahagian yang lemah dan ada bahagian yang tidak benar.

SOALAN 1:

Mengapa kita mesti menilai semula tulisan-tulisan di rakansiswa.com?

Kerana tulisan-tulisan itu membawa ajaran yang bertentangan dengan ajaran (yang benar daripada) Alkitab (Bible).


SOALAN 2:

Apakah antara ajaran-ajaran rakansiswa.com yang bertentangan dengan ajaran Alkitab?

Antaranya rakansiswa.com mendakwa Jesus ialah Tuhan atau Jesus ialah Allah. Padahal yang Tuhan atau Allah hanyalah Bapa sahaja, bukan Jesus ataupun yang lain-lain.


SOALAN 3:

Benarkah Alkitab mengajarkan yang Jesus bukan Tuhan?

Ya, anda boleh mendapatkan begitu banyak bukti-bukti dalam penjelasan-penjelasan (pencerahan) kami di blog ‘Menilai Dakwah rakansiswa.com’ ini. Bahkan bukti-buktinya banyak datang daripada Alkitab sendiri. Yang paling penting, TELITI bukti-buktinya terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tanggapan. Jika tidak, kita samalah seperti seorang hakim yang kejam, belum melihat bukti tapi terus menjatuhkan hukuman.


Syaratnya, anda teruskan pembacaan tanpa jemu. Baca keseluruhan bukan satu dua pencerahan saja.

Kemudian berfikir tentangnya dan membuat pertimbangan sendiri.

Buat kajian dengan mencari maklumat-maklumat tambahan.

Selain itu, jadikan ia sebagai bahan perbincangan sesama teman-teman, tokoh-tokoh mahupun ahli keluarga.


Dalam masa yang sama, mohon petunjuk kepada Tuhan. Tetapi awas, jangan tersilap dengan memohon petunjuk kepada Jesus kerana dia bukan Tuhan! Pohonlah petunjuk kepada Tuhan sebenar iaitu Bapa. Sebelum kewujudan Jesus lagi, Bapa sudah tersedia sebagai Tuhan. Sebelum kemunculan ‘anak’ (Jesus) lagi, bahkan sebelum kemunculan mana-mana makhluk, Bapa sudah ada sendirian dan menjawat jawatan Tuhan.

;;